ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN VII - MASJID



Seksyen 89. Pelantikan Pegawai Masjid.

(1) Bagi tiap-tiap masjid di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dilantik seorang atau beberapa orang Imam, Bilal dan Pembantu Bilal.

(2) Bagi tiap-tiap masjid yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan selepas berunding dengan Majlis, Imam dan Bilal hendaklah dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(3) Bagi tiap-tiap masjid yang tidak ditetapkan di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah melantik Imam dan Bilal daripada kalangan ahli kariah bagi masjid itu.

(4) Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid hendaklah dilantik daripada kalangan ahli kariah bagi masjid itu.

(5) Apabila seksyen ini mula berkuatkuasa, tiap-tiap orang yang sebaik sebelum seksyen ini mula berkuat kuasa ialah Imam, Bilal atau Pembantu Bilal bagi masjid yang ditetapkan di bawah Enakmen terdahulu hendaklah masing-masing disifatkan telah dilantik dengan sewajarnya di bawah seksyen ini sebagai Imam, Bilal atau Pembantu Bilal bagi masjid itu dan hendaklah, tertakluk kepada seksyen 91, terus memegang jawatan sebagai Imam, Bilal atau Pembantu Bilal masjid itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.