ENAKMEN 7 TAHUN 2002
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN XI - AM



Seksyen 112. Kecualian dan peralihan.

(1) Semua kaedah, perisytiharan, perintah, pemberitahuan, notis, borang dan surat kebenaran yang dikeluarkan atau dibuat di bawah atau menurut kuasa Enakmen-Enakmen yang dimansuhkan di bawah seksyen 111 hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, terus berkuat kuasa, setakat yang tidak bertentangan dengan Enakmen ini, sehingga dibatalkan atau digantikan oleh peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, perisytiharan, perintah, pemberitahuan, notis, borang atau surat kebenaran yang dikeluarkan atau dibuat di bawah Enakmen ini.

(2) Pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, semua kuasa Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1985 yang dimansuhkan di bawah seksyen 111 hendaklah diambil alih atau dijalankan oleh Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini dan mana-mana sebutan dalam mana-mana undang-undang bertulis lain atau selainnya mengenai Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen yang dimansuhkan itu hendaklah disifatkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini.

(3) Mana-mana pegawai dan orang yang dilantik di bawah Enakmen-Enakmen yang dimansuhkan di bawah seksyen 111 yang memegang jawatan sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, terus memegang jawatan di bawah Enakmen ini sehingga habis tempoh pelantikan mereka atau mereka meletakkan jawatan atau pelantikan mereka dibatalkan mengikut Enakmen ini dan hendaklah mempunyai kuasa, hak, keistimewaan, liabiliti, kewajipan dan obligasi yang sama seolah-olah mereka telah dilantik di bawah Enakmen ini.

(4) Tiap-tiap perbuatan atau benda yang dilakukan, diambil atau dimulakan oleh pegawai-pegawai dan orang yang disebut dalam subseksyen (3) di bawah Enakmen-Enakmen yang dimansuhkan di bawah seksyen 111 sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, disifatkan telah dilakukan, diambil atau dimulakan di bawah Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.