ENAKMEN 7 TAHUN 1993
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG
BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG
Seksyen 30. Tanggungjawab Majlis untuk pembangunan sosio-ekonomi umat Islam.
(1) Adalah menjadi tanggungjawab Majlis untuk memaju, menggalak, memudah dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial serta kesejahteraan umat Islam di Negeri Pulau Pinang berlandaskan Hukum Syara'.
(2) Bagi memenuhi maksud subseksyen (1) Jawatankuasa Syariah yang dilantik di bawah seksyen 39 hendaklah menjadi badan penasihat Syariah bagi menasihati Majlis dalam menjalankan urusan-urusannya itu untuk menjamin bahawa mereka tidak memasukkan unsur-unsur yang bertentangan dengan Hukum Syara'.
(3) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk maksud melaksanakan tanggungjawab di bawah subseksyen (1)-
(a)
melakukan apa-apa kegiatan yang tidak terlibat dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan Hukum Syara' khususnya dalam pembangunan perdagangan dan perindustrian di mana perlaksanaannya adalah menjadi kepadanya suatu keperluan, yang memberi faedah atau kemudahan kepadanya atau kepada apa-apa yang berkaitan di dalam melaksanakan tugas tersebut.
(b)
memajukan perlaksanaan apa-apa kegiatan mana-mana badan-badan atau orang-orang perseorangan lain dan untuk maksud itu, menubuhkan atau meluaskan atau memajukan penubuhan atau perluasan badan-badan lain, melaksanakan mana-mana kegiatan yang sama ada di bawah pengawasan atau separuh pengawasan Majlis atau secara bersendirian, dan memberi bantuan kepada badan-badan atau kepada badan-badan lain atau orang perseorangan lain yang jelas kepada Majlis mempunyai kemudahan bagi perlaksanaan mana-mana kegiatan itu, meliputi bantuan kewangan dengan cara pinjaman modal atau cara lain;
(c)
melakukan mana-mana kegiatan bersama dengan badan-badan atau orang perseorangan lain, termasuklah jabatan-jabatan atau pihak-pihak berkuasa Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan, atau sebagai wakil pengurusan atau lain-lain bagi pihak Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan jika diberi kuasa sedemikian;
(d)
untuk membeli, menjadi penanggung atau dalam cara lain memperolehi apa-apa saham dan syer di dalam mana-mana syarikat awam atau persendirian dan untuk melupuskannya atas terma-terma dan syarat-syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis;
(e)
untuk menubuhkan mana-mana skim pemberian sesuatu pinjaman daripada Baitulmal kepada seseorang individu Islam, penubuhan itu tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong;
(f)
menubuh dan menyelenggarakan pusat-pusat latihan dan penyelidikan; dan
(g)
melakukan semua kegiatan yang Majlis mempertimbangkan patut bagi tujuan mencapai objektif-objektif Majlis tersebut.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.