ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 2 - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 22. Bagaimana orang yang ditangkap hendaklah diperlakukan dan penahanan yang melebihi dua puluh empat jam

(1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat suatu penangkapan tanpa waran di bawah Enakmen ini hendaklah tanpa kelengahan yang tak perlu dan tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini tentang jaminan atau pelepasannya sebelum itu, membawa atau menghantar orang yang ditangkap itu ke hadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

(2) Tiada pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menahan dalam jagaan seseorang yang ditangkap tanpa waran selama tempoh yang lebih lama daripada yang munasabah dalam segala hal keadaan kes itu.

(3) Tempoh itu tidak boleh melebihi dua puluh empat jam, tidak termasuk masa yang perlu bagi perjalanan dari tempat penangkapan ke Mahkamah itu.

(4) Apabila seseorang yang ditangkap itu dibawa ke hadapan Mahkamah, Mahkamah hendaklah dengan serta-merta mendengar pertuduhan terhadap orang itu atau menangguhkan kes itu.

(5) Jika kes terhadap tertuduh ditangguhkan, maka tertuduh hendaklah, melainkan jika dia dilepaskan atas jaminan, ditahan di dalam penjara atau jagaan polis di bawah waran penahanan yang dikeluarkan oleh seorang Hakim dalam Borang 1 Jadual Kedua.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.