ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 40. Fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional.

(1) Walau apa pun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 36, bilamana Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangannya tentang fatwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis.

(2) Selepas menimbang teliti perkara itu, Majlis boleh membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan perkenan Baginda agar fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Majlis Raja-Raja, melalui Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu fatwa hendaklah disifatkan berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensinya.

(4) Jika Duli Yang Maha Mulia Sultan memberikan perkenan Baginda di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.

(5) Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.

(6) Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau mengesyorkan supaya fatwa yang dicadangkan itu dibuat, dengan atau tanpa ubahsuaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis selepas berunding dengan Jawatankuasa Fatwa hendaklah menimbangkan nasihat dan syor itu dan sesudah itu boleh menyebabkan supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian, dan peruntukan seksyen 37, kecuali subseksyen 37(7), hendaklah terpakai baginya.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.