ENAKMEN 9 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain -

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Enakmen ini;

"Enakmen" ertinya Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004;

"Enakmen Mahkamah" ertinya Enakmen Mahkamah Syariah 2004;

"Hakim" ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah seksyen 6(1), 7(1) atau 9(1) Enakmen Mahkamah;

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali;

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;

"kesalahan boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat Kuasa Agama atau Pegawai Polis boleh menangkap tanpa waran;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat Kuasa Agama atau Pegawai Polis tidak boleh menangkap tanpa waran;

"Ketua Hakim Syar'ie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama" dan "Pegawai Penguat Kuasa Agama" mempunyai erti masing-masing yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Ketua Pendakwa Syar'ie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen;

"Mufti" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Fatwa 2004;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen;

"Peguam Syar'ie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Mahkamah;

"Pendakwa" ertinya Ketua Pendakwa Syar'ie atau Pendakwa Syar'ie;

"Pendakwa Syar'ie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah;

"Pengerusi" mcmpunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen;

"Pesalah muda" ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;

"saksi" tidak termasuk seseorang tertuduh.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Enakmen Tafsiran dan Fasal-fasal Am 1963 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.