ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

"baligh" ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 [Enakmen Bil. 4 Tahun 2004];

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 53;

"Hakim Syarie" atau "Hakim" ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik dibawah subseksyen 48(1) atau subseksyen 47(1) Enakmen Pentadbiran;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali;

"iqrar" ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"kariah masjid", berhubung dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan atau sempadan yang ditetapkan di bawah seksyen 87 Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 67 Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yangditubuhkan di bawah subseksyen 44(1) atau (2) Enakmen Pentadbiran;

Mahkamah Rayuan Syariah" ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah subseksyen 44(3) Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Pentadbiran;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

"mut'ah" ertinya bayaran sagu hati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"Negeri" termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;

"Peguam Syarie" ertinya orang yang diterima di bawah seksyen 69 Enakmen Pentadbiran sebagai Peguam Syarie;

"pemberian" ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

"Pendaftaran" ertinya Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuklah Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah atau fasid atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"ruju'" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"ta'tiq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas kad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

"tak sah taraf", berhubung dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah;

"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

"wali" ertinya waris bagi seorang perempuan yang boleh mengkahwinkannya mengikut Hukum Syarak;

"wali Hakim" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mengkahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau perempuan yang walinya enggan menikahkannya tanpa suatu sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak;

"wali Mujbir" ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing oleh Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat dalam bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan denagnnya dalam Jadual itu.

(4) Duli Yang Maha Mulia Sultan boelh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.