ENAKMEN 3 TAHUN 2001
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH (TERENGGANU) 2001

BAHAGIAN IV - PELBAGAI



Seksyen 27. Kecualian dan peralihan.

(1) Semua peraturan, kaedah, perisytiharan, perintah, pemberitahuan, notis, borang, surat kebenaran dan pelantikan yang dikeluarkan atau dibuat di bawah Enakmen terdahulu berhubung dengan perkara-perkara yang diperuntukkan di bawah Enakmen ini hendaklah terus berkuat kuasa, setakat yang tidak bertentangan dengan Enakmen ini, sehingga dibatalkan atau digantikan oleh peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, perisytiharan, perintah, pemberitahuan, notis, borang, surat kebenaran, atau pelantikan yang dikeluarkan atau dibuat di bawah Enakmen ini.

(2) Mana-mana perkara yang belum selesai sebelum pemulaan kuat kuasa Enakmen ini di hadapan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah, pada tarikh mula berkuat kuasa itu, didengar atau diteruskan dan dibereskan oleh Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, masing-masingnya yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini.

(3) Jika sesuatu perkara yang belum selesai di hadapan Mahkamah Rendah Syariah sebelum pemulaan kuat kuasa Enakmen ini dan Mahkamah Rendah Syariah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau membereskan perkara itu di bawah Enakmen ini, maka, walau apa pun seksyen 12 Enakmen ini, perkara itu hendaklah didengar atau diteruskan dan dibereskan oleh Mahkamah Rendah Syariah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini seolah-olah Mahkamah Rendah Syariah itu yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau meneruskan dan membereskan perkara itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.