ENAKMEN 7 TAHUN 2004
ENAKMEN FATWA

BAHAGIAN II - PELANTIKAN MUFTI DAN FUNGSI MUFTI, KUASA MAJLIS FATWA NEGERI DAN FATWA YANG BERHUBUNG DENGAN KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 8. Tatacara pembuatan fatwa

(1) Sebelum Majlis Fatwa Negeri membuat suatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan suatu kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Majlis Fatwa Negeri bercadang hendak membuat suatu fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu Mesyuarat Majlis Fatwa Negeri bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas suatu fatwa disediakan oleh Majlis Fatwa Negeri, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Majlis Fatwa Negeri, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.

(4) Majlis boleh selepas menimbang teliti fatwa itu, membuat syor kepada Yang di-Pertua Negeri untuk mendapatkan perkenannya bagi pewartaan fatwa itu.

(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Majlis jika Majlis berpendapat penjelasan dan ulasan itu perlu.

(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Majlis Fatwa Negeri hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(8) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu boleh juga disiarkan dalam tulisan jawi.

(9) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (6).




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.