ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN VI - DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB 2 - DARIHAL RAYUAN KEPADA MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH



Seksyen 152. Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan oleh mana-mana orang yang disabitkan atau selainnya didapati bersalah atau oleh Ketua Pendakwa Syarie terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah yang menjalankan bidang kuasa asal jenayahnya, tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang mengawalselia terma-terma dan syarat-syarat yang berdasarkannya rayuan-rayuan jenayah boleh dibawa.

(2) Jika seseorang tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan atas akuan itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali tentang takat atau keesahan hukuman.

(3) Notis mana-mana rayuan oleh Ketua Pendakwa Syarie hendaklah diberikan oleh, atau dengan persetujuan bertulis daripada, pegawai itu sahaja.

(4) Rayuan boleh dibuat tentang sesuatu persoalan fakta atau persoalan undang-undang atau campuran persoalan fakta dan undang-undang.

(5) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara-perkara yang dibawa ke hadapannya mengikut seksyen 166 atau 167.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.