ENAKMEN 2 TAHUN 1986
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1986

BAHAGIAN II - PERATURAN-PERATURAN AM MENGENAI MAHKAMAH-MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 12. Memeriksa tempat yang dimasuki oleh orang yang hendak ditangkap.

(1) Jika mana-mana orang yang menjalankan waran tangkap atau mana-mana juga Pemeriksa Agama, pegawai masjid, pegawai polis, atau penghulu yang berkuasa menangkap mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana-mana tempat, maka orang yang tinggal di dalam atau yang menjaga tempat itu hendaklah atas permintaan orang yang menjalankan waran itu atau Pemeriksa Agama, pegawai masjid, pegawai polis, atau penghulu itu membenarkannya masuk dengan bebas ke dalam tempat itu dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk pemeriksaan di dalam tempat itu.

(2) Jika tidak dapat masuk ke dalam tempat itu menurut peruntukan subseksyen (1), maka adalah sah bagi orang yang bertindak dengan berwaran dalam mana-mana kes pun dan bagi Pemeriksa Agama, pegawai masjid, pegawai polis, atau penghulu manakala waran boleh dikeluarkan tetapi tidak didapatinya supaya tidak memberi peluang kepada orang itu melarikan diri, masuk ke dalam tempat itu dan menggeledah tempat itu, dan untuk membolehkannya masuk ke dalam tempat itu, bolehlah dia memecahkan mana-mana pintu luar atau dalam atau tingkap di mana-mana tempat sama ada dipunyai oleh orang yang hendak ditangkap itu atau oleh orang lain, jika selepas memberitahu kuasa dan tujuannya serta meminta supaya dibenarkan ia masuk, tetapi telah tidak dibenarkannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.