ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYAR'IAH
Prosedur dalam Perbicaraan Jenayah



Seksyen 113. Perbicaraan.

(1) Pertuduhan hendaklah dibaca dan diterangkan kepada orang yang kena tuduh.

(2) Jika orang yang kena tuduh mengaku salah, dia boleh disabitkan dan dihukum di atas pengakuannya itu.

(3) Jika orang yang dituduh itu menuntut supaya dibicarakan atau enggan mengaku, pendakwa hendaklah menyatakan dengan ringkasnya fakta-fakta yang hendak dibuktikan dan undang-undang yang berkaitan dan selepas itu hendaklah memanggil saksi-saksinya.

(4) Tiap-tiap saksi hendaklah diperiksa oleh pihak yang memanggilnya dan kemudian bolehlah diperiksa balas oleh pihak yang menentang.

(5) Pemeriksaan balas boleh diperbuat dengan tujuan hendak menentukan sama ada saksi itu boleh dipercayai atau tidak.

(6) Pihak yang memanggil saksi itu boleh pula selepas itu memeriksa semula di atas perkara-perkara yang timbul daripada pemeriksaan balas itu.

(7) Mahkamah boleh menyoal mana-mana saksi pada bila-bila masa.

(8) Apa-apa soalan selanjutnya boleh dikemukakan, atau saksi boleh dipanggil semula, dengan kebenaran Mahkamah.

(9) Jika selepas mendengar keterangan bagi pihak pendakwa Mahkamah dapati tidak ada kes terhadap orang yang dituduh itu yang dibuktikan yang mana jika tidak dibuktikan sebaliknya akan mensabitkan kesalahannya, Mahkamah hendaklah membebas dan melepaskan orang yang dituduh itu, tetapi sebaliknya, jika ada keterangan, Mahkamah hendaklah memanggil orang yang dituduh membuat pembelaan.

(10) Jika dipanggil membuat pembelaan, yang dituduh itu bolehlah berucap kepada Mahkamah, dan selepas itu bolehlah sama ada memberi keterangan dengan berikrar atau membuat kenyataan tanpa berikrar atau berdiam diri sahaja.

(11) Jika orang yang dituduh itu memilih untuk memberi kenyataan tanpa berikrar, maka dia tidaklah boleh diperiksa balas.

(12) Jika yang dituduh itu memberi keterangan dengan berikrar, dia boleh diperiksa balas, tetapi tidaklah mengenai wataknya atau mengenai lain-lain kesalahan yang tidak dipertuduhkan.

(13) Orang yang dituduh boleh selepas itu memanggil saksi-saksinya.

(14) Orang yang dituduh boleh selepas itu menggulung kes.

(15) Pendakwa boleh selepas itu menjawab pada keseluruhannya.

(16) Mahkamah hendaklah selepas itu sama ada mensabitkan kesalahan ataupun membebaskan yang dituduh.

(17) Jika yang dituduh itu disabitkan kesalahannya, Mahkamah bolehlah diberitahu akan kesalahan-kesalahan yang terdahulu daripada itu dan hendaklah Mahkamah memberi pertimbangan kepada sebarang permintaan kerana mengurangkan hukuman.

(18) Mahkamah hendaklah selepas itu menjatuhkan hukuman mengikut unddng-undang.

(19) Pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum hukuman dibuat, pendakwa boleh menarik balik pertuduhan dan selepas itu orang yang dituduh hendaklah dilepaskan daripada tuduhan itu, tetapi jika yang mengadu menjadi pendakwa, dan jika dia tidak bertindak di atas mana-mana sifat istimewa yang tertera di dalam paragraf (a) hingga (d) seksyen 111, dia tidaklah boleh menarik balik pertuduhan itu tanpa kebenaran Mahkamah.

(20) Mahkamah hendaklah pada setiap masa berpuas hati bahawa orang yang dituduh itu faham akan jenis dan natijah prosiding itu dan mempunyai peluang yang sepatutnya untuk membela dirinya.

(21) Segala keterangan hendaklah diberi di hadapan orang yang dituduh dan hendaklah, jika bahasa yang digunakan itu tidak difahami olehnya, diterjemahkan kepadanya.

(22) Mahkamah hendaklah mencatatkan keterangan dengan bertulis secara cerita dan hendaklah juga mencatatkan keputusan dan hukumannya, jika ada.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.