ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN VII - PEMELUKAN AGAMA ISLAM



Seksyen 106. Pendaftaran pemelukan agama Islam.

(1) Seseorang yang memeluk agama Islam boleh memohon kepada Pendaftar Muallaf dalam borang yang ditetapkan untuk pendaftaran pemelukannya ke agama Islam.

(2) Jika Pendaftar Muallaf berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 100 dan sekyen 101 telah dipenuhi oleh orang itu, Pendaftar Muallaf boleh mendaftarkan pemelukan ke agama Islam orang itu dalam Daftar Muallaf.

(3) Jika Pendaftar Muallaf berpuas hati bahawa seseorang muallaf telah diberi penjagaan di bawah seksyen 103 terhadap anak yang pada saat pemelukan muallaf itu ke agama Islam adalah berumur kurang daripada lapan belas tahun, Pendaftar Muallaf hendaklah atas permohonan muallaf tersebut mendaftarkan juga pemelukan ke agama Islam anak itu dalam Daftar Muallaf.

(4) Pendaftar muallaf hendaklah juga menentukan tarikh seseorang itu memeluk agama Islam dan mencatatkan tarikh itu di dalam Daftar Muallaf.

(5) Bagi maksud memuaskan hatinya akan hal dan tarikh pemelukan ke agama Islam, tentang adanya anak pemohon, dan umur anak itu dan butir-butir lain, Pendaftar Muallaf boleh membuat siasatan dan boleh mendapatkan keterangan sebagaimana yang difikirkannya mustahak, tetapi subseksyen ini tidak boleh dianggap sebagai menghalang Pendaftar Muallaf daripada bergantung hanya kepada kata-kata pemohon setakat yang mengenai hal pemelukannya dan tarikhnya.

(6) Jika Pendaftar Muallaf tidak berpuas hati bahawa kehendak seksyen 101 telah dipenuhi oleh pemohon bagi maksud memeluk agama Islam, dia boleh membenarkan pemohon mengucap dua Kalimah Syahadah di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya mengikut kehendak seksyen tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.