ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 37. Tatacara pembuatan fatwa.

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat sesuatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan suatu kertas kerja disediakan.

(2) Bilamana Jawatankuasa bercadang hendak membuat sesuatu fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatawa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, memaklumkan Majlis tentang fatwa yang telah disediakan itu.

(4) Jawatankuasa Fatwa boleh membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan perkenan Baginda bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Jawatankuasa Fatwa jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat penjelasan dan ulasan itu perlu.

(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, Jawatankuasa Fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(8) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi dan jawi, dan nas fatwa itu hendaklah dalam tulisan jawi.

(9) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Mufti atau Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta mengikut subseksyen (6).




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.