ENAKMEN 13 TAHUN 1993
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1993

BAHAGIAN I - KERELEVANAN
BAB 2 - QARINAH



Seksyen 14. Fakta yang menunjukkan kewujudan keadaan fikiran atau keadaan tubuh atau perasaan tubuh.

Fakta yang menunjukkan kewujudan sesuatu keadaan fikiran, seperti niat, pengetahuan, suci hati, kecuaian, kegopohan, niat jahat, atau niat baik terhadap seorang tertentu, atau menunjukkan kewujudan sesuatu keadaan tubuh badan atau perasaan tubuh, adalah qarinah apabila kewujudan sesuatu keadaan fikiran atau tubuh badan atau perasaan tubuh itu adalah menjadi persoalan atau relevan.

Huraian 1 - Sesuatu fakta relevan yang menunjukkan kewujudan suatu keadaan akal fikiran yang relevan mestilah menunjukkan bahawa keadaan akal fikiran itu wujud bukan secara amnya tetapi merujuk perkara tertentu dalam persoalan.

Huraian 2 - Tetapi jika dalam perbicaraan terhadap seorang tertuduh atas suatu kesalahan, suatu perlakuan kesalahan dahulu oleh tertuduh itu adalah qarinah dalam erti seksyen ini, sabitan dahulu orang itu hendaklah juga menjadi suatu qarinah.

MISALAN

      (a)
Soalnya sama ada A. telah bersalah melakukan penganiayaan terhadap isterinya, B.

Penzahiran perasaan mereka di antara satu sama lain sejurus sebelum atau selepas penganiayaan yang dikatakan itu adalah
qarinah.

      (b)
A. dibicarakan atas suatu kesalahan jenayah.

Fakta bahawa dia telah berkata sesuatu menunjukkan niat hendak melakukan jenayah tertentu itu adalah
qarinah.

Fakta bahawa dia telah berkata sesuatu yang menunjukkan kecenderungan am hendak melakukan jenayah jenis itu bukanlah
qarinah.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.