ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - KESALAHAN
Darihal menghina kuasa yang sah di sisi undang-undang bagi penjawat awam



Seksyen 109. Mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

Mana-mana orang yang ketahui bahawa ia adalah diarah oleh suatu perintah, yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam yang diberi kuasa dengan sah di sisi undang-undang mengisytiharkan perintah itu, supaya jangan melakukan suatu perbuatan yang tertentu atau supaya menjalankan suatu aturan yang tertentu berkenaan dengan suatu harta yang tertentu yang ada dalam miliknya atau di bawah pengurusannya, mengingkari arahan itu, hendaklah, jika keingkaran itu menyebabkan atau mungkin menyebabkan galangan, kegusaran, atau bencana, atau adanya bahaya galangan, kegusaran, atau bencana kepada mana-mana orang yang bekerja dengan sah di sisi undang-undang, adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya; dan jika keingkaran itu menyebabkan atau mungkin menyebabkan bahaya kepada nyawa, kesihatan atau keselamatan manusia, atau menyebabkan atau mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempar hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Huraian-Tidaklah perlu bagi pesalah itu bermaksud hendak menerbitkan kerosakan, atau menyangka keingkarannya sebagai mungkin menerbitkan kerosakan. Adalah memadai bahawa ia mengetahui perintah yang ia ingkari itu, dan bahawa keingkarannya menerbitkan, atau mungkin menerbitkan, kerosakan.

MISALAN

Suatu perintah adalah diisytiharkan oleh seorang penjawat awam yang diberi kuasa dengan sah di sisi undang-undang mengisytiharkan perintah itu bagi mengarah supaya suatu perarakan agama jangan melalui suatu jalan yang tertentu. A. dengan mengetahuinya mengingkari perintah itu, dan dengan demikian itu menyebabkan adanya bahaya rusuhan. A. A. telah melakukan kesalahan yang ditakrifkan dalam seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.