ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 8 - HUKUMAN DAN PELAKSANAAN



Seksyen 129. Pesalah pertama.

(1) Apabila mana-mana orang yang bukan pesalah remaja, telah disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang dapat dihukum dengan pemenjaraan di hadapan mana-mana Mahkamah, jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa, dengan mengambil kira kepada watak, latarbelakangnya, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu, atau remehnya jenis kesalahan itu, atau kepada apa-apa hal keadaan peringan di bawah mana kesalahan itu dilakukan, adalah suaimanfaat sekiranya pesalah itu dilepaskan atas percubaan untuk berkelakuan baik, Mahkamah bolehlah, sebagai ganti untuk hukuman lain yang ia boleh hukumkan ke atas pesalah, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan dengan ikatan bon dengan penjamin-penjamin dan dalam tempoh tersebut sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah, supaya hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil, dan sementara itu, hendaklah dia berkelakuan baik.

(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk membicarakan pesalah itu berhubung dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah gagal untuk mematuhi mana-mana syarat-syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi menangkapnya.

(3) Mana-mana pesalah bila ditangkap atas mana-mana waran itu hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta merta di hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa di hadapan seorang Hakim, dan Hakim tersebut bolehlah, sama ada menahanya dengan waran sehingga masa di mana dia dikehendaki oleh bonnya supaya hadir bagi penghakiman atau sehingga Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk mendengar kesalahan asalnya itu bersidang, atau bolehlah membenarkan jaminan dengan penjamin yang cukup, dengan syarat dia hadir untuk dihakimkan.

(4) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, bolehlah dihukum penjara dan waran penahanannya hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah di mana dia dikehendaki hadir bagi hukuman, atau menjawab tentang kelakuannya semenjak dia dilepaskan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.