ENAKMEN 1 TAHUN 1990
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1990

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 7 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syara' dan peruntukan seksyen ini semua orang Islam adalah layak memberi shahadah dan baiyyinah dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak menimbulkan tohmah.

(2) Seseorang bukan Islam layak memberi baiyyinah ke atas seseorang Islam jika keterangan itu boleh diterima mengikut Hukum Syara'.

Huraian
(3) Seseorang yang tidak bersifat adil yang mana keburukannya mengatasi kebaikannya atau sentiasa bercakap dusta atau rosak akhlaknya adalah layak memberi baiyyinah, akan tetapi tidak layak memberi shahadah.

(4) Apabila orang itu orang bukan Islam ia mestilah boleh dipercayai mengikut agamanya.

(5) Seseorang kanak-kanak yang belum baligh atau seseorang yang baligh tetapi terganggu atau tercacat akal fikirannya adalah layak memberi baiyyinah akan tetapi tidak layak memberi shahadah.

Huraian - Keterangan kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh beberapa kanak-kanak ke atas yang lain selama mana mereka tidak berselisih faham dan masih berada di tempat kejadian itu adalah boleh diterima.

(6) Seseorang yang dikenali sebagai lemah ingatan atau pelupa atau salah ingatan adalah layak memberi baiyyinah akan tetapi tidak layak memberi shahadah.

(7) Seseorang yang diragui kerana hubungan baiknya dan yang mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi baiyyinah akan tetapi tidak layak memberi shahadah.

(8) Seseorang yang diragui kerana hubungan buruknya dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi baiyyinah akan tetapi tidak layak memberi shahadah.

Huraian - "Adil" ertinya seseorang Islam yang termaklum menunaikan kewajipan agama dan menjauhi daripada dosa-dosa besar dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil:

Dengan syarat bahawa jika saksi itu adalah seorang bukan Islam dia hendaklah boleh dipercayai mengikut agamanya atau kepercayaannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.