ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN I - PERMULAAN
BAB - I



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"baligh" ertinya seseorang yang telah mencapai umur dua belas tahun qamariah;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 [Enakmen 1/1991];

"Hakim" ertinya Hakim Mahkamah Syariah, yang dilantik di bawah seksyen 37 dan 39 Enakmen Pentadbiran, yang mana berkenaan;

"kesalahan" ertinya sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis mengenai agama Islam yang di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah;

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah seksyen 37 Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya Ketua Pendakwa Syarie yang dilantik di bawah seksyen 53 (1) Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 36 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Negeri Sembilan di bawah seksyen 28 (1) Enakmen Pentadbiran;

"Negeri" ertinya Negeri Sembilan;

"Pegawai Penguatkuasa Agama" ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama yang dilantik di bawah seksyen 53 (4) Enakmen Pentadbiran dan termasuklah Penolong Pegawai Penguatkuasa Agama;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 54 (1) Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, yang dilantik di bawah seksyen 40 (1) Enakmen Pentadbiran, yang mana berkenaan;

"Pendakwa Syarie" termasuklah Ketua Pendakwa Syarie atau Timbalan Pendakwa Syarie;

"remaja" ertinya seseorang yang telah mencapai umur baligh hingga ke umur lapan belas tahun.


(2) Semua perkataan, dan ungkapan yang digunakan di dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan di dalamnya, tetapi ditakrifkan di dalam Akta-akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388], yang mana sesuai, hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing setakat erti yang sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Jika timbul sebarang persoalan dalam mentafsirkan sesuatu perkataan, perbahasan dan istilah mengenai Hukum Syarak, maka adalah dalam bidangkuasa Mahkamah yang membicarakan kes itu untuk memberi tafsiran kepada perkataan, perbahasan dan istilah sedemikian itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.