ENAKMEN 17 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI JOHOR) 2003

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Fasal 28. Pelantikan Ketua Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam.

(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Rujuk Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju’ di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Ketua Pendaftar, Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam bagi mana-mana kawasan dalam Negeri Johor sebagaimana yang ditentukan dalam pelantikan itu.

(3) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [Akta 574].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.