ENAKMEN 14 TAHUN 2003
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN XX - PROSIDING INTERLOKUTORI DAN PERINTAH INTERIM
BAB 1- PROSIDING INTERLOKUTORI



Seksyen 193. Ketidakhadiran

(1) Jika pemohon tidak hadir pada pendengaran permohonannya, Mahkamah boleh membuang permohonan itu.

(2) Jika mana-mana pihak dalam sesuatu permohonan tidak hadir pada pendengaran pertama atau mana-mana pendengaran sambungannya dan Mahkamah berpendapat adalah suaimanfaat diteruskan pendengaran itu tanpa kehadiran mana-mana pihak, maka Mahkamah boleh berbuat demikian.

(3) Sebelum meneruskan pendengaran tanpa kehadiran mana-mana pihak, Mahkamah hendaklah berpuas hati bahawa permohonan itu atau notis tentang masa yang ditetapkan bagi pendengaran sambungannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, telah disampaikan dengan sempurnanya kepada pihak itu.

(4) Jika permohonan itu telah dibuang tanpa pendengaran oleh sebab pemohon tidak hadir, maka Mahkamah, jika berpuas hati bahawa adalah ‘adil berbuat sedemikian, boleh membenarkan permohonan itu dimasukkan semula.

(5) Jika Mahkamah yang mendengar sesuatu permohonan meneruskan pendengaran tanpa kehadiran sesuatu pihak, maka, dengan syarat bahawa apa-apa perintah yang dibuat pada pendengaran itu belum lagi disempurnakan, Mahkamah, jika berpuas hati adalah ‘adil berbuat demikian, boleh mendengar semula permohonan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.