ENAKMEN 18 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI JOHOR) 2003

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 2 - SAKSI



Fasal 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah atau Bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah ‘aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

Huraian - Seseorang Islam adalah disifatkan ‘adil jika dia menunaikan obligasi agamanya, melaksanakan kewajipan agama yang ditetapkan, menahan diri daripada melakukan dosa besar dan tidak terus menerus melakukan dosa kecil.

(2) Seorang yang bukan Islam adalah kompeten untuk memberikan Bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Huraian - Bayyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima, jika dikehendaki.

(3) Seseorang yang tidak ‘adil ialah kompeten untuk memberikan Bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

(4) Seseorang yang belum baligh atau seseorang yang tak sempurna akal ialah kompeten untuk memberikan Bayyinah tetapi tidak kompeten memberikan syahadah.

Huraian - Bayyinah seorang orang belum dewasa dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh beberapa orang-orang belum dewasa ke atas yang lain boleh diterima dengan syarat bahawa antara mereka tidak perselisihan faham dan mereka berada di tempat kejadian itu.

(5) Seseorang yang mempunyai ingatan yang lemah atau yang pelupa atau mengidap hilang ingatan adalah kompeten untuk memberikan Bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.

(6) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengan dan mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah kompeten untuk memberikan Bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.

(7) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruknya dengan pihak menentang adalah kompeten untuk memberikan Bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.