ENAKMEN 9 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN IV - PIHAK-PIHAK
BAB 1 - AM



Seksyen 23. Penurunan kepentingan

(1) Dalam hal mana-mana penyerahhakan, pewujudan, perubahan, perpindahan atau penurunan kepentingan, harta pusaka, hakmilik atau tanggungan mana-mana pihak, antara permulaan mana-mana prosiding dengan penghakiman di dalamnya, orang yang kepadanya atau padanya kepentingan, harta pusaka, hakmilik, atau tanggungan telah diberikan atau turun boleh memohon supaya dia ditambahkan sebagai suatu pihak atau dijadikan suatu pihak bagi menggantikan suatu pihak yang lain dan plaintif boleh mengikut cara yang sama memohon untuk mendapatkan penambahan atau penggantian sedemikian, jika pihak yang berkenaan ialah defendan.

(2) Notis mana-mana permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah disampaikan kepada semua pihak.

(3) Jika suatu permohonan sepatutnya dibuat di bawah subseksyen (1) dan tidak dibuat dalam tempoh yang munasabah, Mahkamah boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak, memerintahkan supaya pihak atau orang yang berkenaan membuat permohonan dalam suatu tempoh ditentukan, dan jika pihak atau orang itu ingkar boleh membatalkan atau membuang prosiding itu, atau memerintahkan supaya pihak atau orang yang berkenaan dihalang daripada membela, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(4) Jika mana-mana perkara yang tersebut dalam subseksyen (1) berlaku selepas penghakiman dan ada wang untuk manfaat prosiding itu di Mahkamah, Mahkamah boleh memerintahkan supaya disampaikan kepada mana-mana orang apa-apa permohonan untuk mendapatkan suatu perintah bagi pembayaran daripada Mahkamah.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.