ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992


JADUAL KEDUA

[Seksyen 8 (3)]

1. Kecualian.

Tiada apa-apa jua dalam seksyen 8 boleh disifatkan sebagai membenarkan Majlis membuat perintah untuk menubuhkan apa-apa perbadanan yang mempunyai apa-apa kewajipan, kuasa atau hak yang terkeluar daripada kewajipan-kewajipan, kuasa-kuasa atau hak-hak Majlis di bawah Enakmen ini.

2. Perintah-perintah mempunyai kuatkuasa mengikat.

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, apa-apa perintah yang dibuat di bawah seksyen 8 adalah mengikat perbadanan yang berkenaan dengannya ia dibuat dan hendaklah mempunyai kuatkuasa bagi segala maksud seolah-olah ia telah diperbuat dalam Enakmen ini.

3. Pindaan, dsb. perintah-perintah.

Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertua Negeri, pada bila-bila masa meminda, membatalkan atau menambah kepada apa-apa perintah yang dibuat berkenaan dengan mana-mana perbadanan di bawah seksyen 8.

4. Daftar Perbadanan-perbadanan.

Majlis hendaklah menyimpan satu daftar bagi semua perbadanan yang ditubuhkan olehnya di bawah seksyen 8 dan daftar itu bersekali dengan salinan-salinan semua perintah yang dibuat di bawah seksyen itu hendaklah terbuka kepada pemeriksaan awam pada tempat atau tempat-tempat dan pada waktu-waktu sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.

5. Penggulungan.

(1) Majlis boleh dengan kelulusan Yang di-Pertua Negeri, melalui perintah yang diterbitkan dalam Warta, mengarahkan supaya mana-mana perbadanan yang ditubuhkan olehnya hendaklah digulung dan dibubarkan.

(2) Apabila terbubar mana-mana perbadanan di bawah perenggan ini, aset perbadanan itu, setelah dibayar segala liabiliti, hendaklah dipindahkan kepada dan diletakhak pada Majlis.

(3) Penggulungan sesuatu perbadanan di bawah perenggan ini hendaklah dijalankan mengikut cara yang ditetapkan oleh Majlis.

6. Perbadanan-perbadanan hendaklah menjadi pertubuhan-pertubuhan perbadanan.

Tiap-tiap perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 hendaklah menjadi perbadanan (coporate) dengan nama sebagaimana yang diberikan kepadanya oleh Menteri dan hendaklah kekal turun temurun dan mempunyai meterai biasa dan boleh mendakwa dan didakwa atas nama tersebut, dan, bagi maksud memaju atau menunaikan fungsi-fungsinya, boleh mengikat kontrak dan boleh memegang dan mengurus niagakan atau memperlakukan apa-apa harta alih atau tak alih dan boleh melakukan segala perkara dan benda lain yang bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang tidak berlawanan dengan peruntukan-peruntukan Enakmen ini dan tertakluk kepada sekatan-sekatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri dalam setiap satu hal.

7. Meterai.

(1) Tiap-tiap perbadanan hendaklah mempunyai suatu meterai perbadanan, yang hendaklah mengandungi suatu tanda sebagaimana diluluskan oleh Menteri, dan meterai itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukarkan, diubah dan dibuat baharu oleh perbadanan itu dengan kelulusan Menteri.

(2) Sehingga suatu meterai diadakan oleh suatu perbadanan di bawah perenggan ini, suatu cap yang mengandungi nama perbadanan itu bolehlah digunakan sebagai meterai biasa.

(3) Meterai biasa, atau cap yang disebut dalam subperenggan (2), hendaklah berada dalam simpanan orang yang diarahkan oleh perbadanan dan hendaklah disahkan oleh orang lain; dan segala suratikatan, dokumen, dan suratcara-suratcara lain yang berupa sebagai meterai dengan meterai tersebut, dan yang disahkan seperti yang disebut terdahulu hendaklah, sehingga dibuktikan sebaliknya disifatkan sebagai telah disempurnakan dengan sahnya.

(4) Apa-apa dokumen atau suratcara yang jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan pertubuhan perbadanan, tidak akan dikehendaki supaya dibuat di bawah meterai, boleh dengan cara yang sama disempurnakan oleh perbadanan.

(4) Meterai tiap-tiap perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.