ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
PENJAGAAN KE ATAS ORANG DAN HARTA



Seksyen 99. Perintah khas mengenai harta kecil.

(1) Jika memandang kepada taraf kehidupan kanak-kanak itu dan kepada nilai hartanya dan juga kepada segala hal keadaan kes yang berkenaan adalah didapati bermanfaat supaya harta modal kanak-kanak itu digunakan bagi menanggung nafkah, pelajaran, atau kemajuannya dengan cara yang boleh mengelakkan belanja bagi membuat permohonan kepada Mahkamah, maka Mahkamah, daripada melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu boleh memerintahkan supaya segala harta kanak-kanak itu, dari apa jua jenis pun, diletakkan dalam tangan seseorang yang akan dilantik oleh Mahkamah, dengan kuasa penuh untuk membuat apa-apa urusan dan untuk menggunakan harta itu bagi maksud yang tersebut di atas menurut budi bicaranya sendiri bebas dari apa-apa kawalan; dan dalam hal yang demikian resit dari orang yang dilantik itu adalah menjadi akuan penyelesian yang sewajarnya bagi sesiapa jua yang membuat apa-apa pembayaran atau pindah milik apa-apa harta kepadanya bagi pihak kanak-kanak itu.

(2) Seseorang yang dilantik di bawah sub-seksyen (1) boleh diperintahkan oleh Mahkamah supaya mengemukakan suatu akuan mengenai urusan-urusan yang dibuat olehnya mengenai harta kanak-kanak itu.

(3) Mahkamah boleh, kerana sesuatu sebab yang memadai, membatalkan apa-apa perintah, atau memansuhkan apa-apa perlantikan, yang dibuat di bawah sub-seksyen (1) dan boleh melantik seorang lain dengan memberi kepadanya kuasa yang sama atau apa-apa kuasa yang lebih besar atau lebih kecil yang difikirkannya patut, atau boleh melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.