ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - KESALAHAN
Darihal keterangan palsu dan kesalahan-kesalahan terhadap keadilan awam



Seksyen 80. Memberi keterangan palsu.

Mana-mana orang yang terikat di sisi undang-undang oleh suatu sumpah, atau oleh apa-apa peruntukan undang-undang yang nyata supaya menyatakan hal yang sebenarnya, atau yang terpaksa di sisi undang-undang supaya membuat suatu akuan atas apa-apa perkara, membuat sesuatu kenyataan yang palsu, dan yang ia sama ada ketahui atau percaya sebagai palsu, atau yang ia tidak percaya sebagai benar, adalah dikatakan memberi keterangan palsu.

Huraian 1-Suatu kenyataan sama ada dibuat secara lisan atau dengan jalan lain adalah termasuk dalam erti seksyen ini.

Huraian 2
-Suatu kenyataan palsu berkenaan dengan kepercayaan orang yang membuat kenyataan itu adalah termasuk dalam erti seksyen ini, dan seseorang adalah bersalah melakukan kesalahan memberi keterangan palsu dengan menyatakan bahawa ia percaya sesuatu perkara yang ia tidak percaya atau dengan menyatakan bahawa ia ketahui sesuatu perkara yang ia tidak ketahui.

MISALAN

A., bagi menyokong suatu tuntutan yang dibuat oleh B. ke atas Z. sebanyak seribu ringgit, bersumpah dengan palsunya dalam suatu pembicaraan bahawa ia telah mendengar Z. mengakui tuntutan B. A. telah memberi keterangan palsu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.