ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN XI - AM



Seksyen 113. Kecualian dan peralihan.

(1) Semua kaedah, perisytiharan, perintah, pemberitahuan, notis, borang dan surat kebenaran yang dikeluarkan atau dibuat di bawah atau menurut kuasa Enakmen terdahulu hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, terus berkuat kuasa, setakat yang tidak bertentangan dengan Enakmen ini, sehingga dibatalkan atau digantikan oleh peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, perisytiharan, perintah, pemberitahuan, notis, borang atau surat kebenaran yang dikeluarkan atau dibuat di bawah Enakmen ini.

(2) Pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, semua kuasa Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen terdahulu dan mana-mana sebutan dalam mana-mana undang-undang bertulis lain atau selainnya mengenai Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen terdahulu hendaklah disifatkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini.

(3) Mana-mana pegawai dan orang yang dilantik di bawah Enakmen terdahulu yang memegang jawatan sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, terus memegang jawatan di bawah Enakmen ini sehingga habis tempoh pelantikan mereka atau mereka meletakkan jawatan atau pelantikan mereka dibatalkan mengikut Enakmen ini dan hendaklah mempunyai kuasa, hak, keistimewaan, labiliti, kewajipan dan obligasi yang sama seolah-olah mereka telah dilantik di bawah Enakmen ini.

(4) Tiap-tiap perbuatan atau benda yang dilakukan, diambil atau dimulakan oleh pegawai-pegawai dan orang yang disebut dalam subseksyen (3) di bawah Enakmen terdahulu sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Enakmen ini, disifatkan telah dilakukan, diambil atau dimulakan di bawah Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.