ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYAR'IAH
Prosedur dalam Prosiding Mal



Seksyen 133. Prosedur tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam mahkamah.

(1) Apabila sesuatu kesalahan sebagaimana yang diperihalkan dalam seksyen 175, 178, 179, 180, atau 228 Kanun Keseksaan [N.M.B. Bab 45.] dilakukan dalam pandangan atau di hadapan mana-mana Mahkamah Syar'iah sama ada mal atau jenayah, Mahkamah boleh menyebabkan pesalah itu supaya ditahan dalam jagaan dan, pada bila-bila masa sebelum Mahkamah ditangguhkan pada hari itu, boleh, jika ia fikirkan patut, mengiktirafkan kesalahan itu dan menghukum pesalah itu denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau, jika denda tidak dibayar, penjara tidak melebihi dua bulan.

(2) Dalam setiap kes sedemikian Mahkamah hendaklah merakamkan fakta-fakta yang menjadikan kesalahan itu, dengan pernyataan, jika ada, yang dibuat oleh pesalah itu serta juga kedapatan dan hukuman.

(3) Jika kesalahan itu adalah suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 228 Kanun Keseksaan, rekod hendaklah menunjukkan jenis dan peringkat prosiding dalam mana Mahkamah yang diganggu atau dicela itu sedang bersidang, dan jenis gangguan atau celaan itu.

(4) Jika Mahkamah memikirkan bahawa pesalah itu boleh diselesaikan dengan lebih baik melalui proses undang-undang biasa, maka Mahkamah, sebagai ganti rugi bertindak di bawah subseksyen (1), boleh melaporkan perkara itu kepada Pendakwa Raya.

(5) Apabila sesuatu Mahkamah telah, di bawah subseksyen (1), memutuskan seseorang pesalah itu dihukum kerana enggan atau tidak melakukan sesuatu yang dia dikehendaki dengan sahnya supaya melakukan atau kerana apa-apa cacian atau gangguan yang sengaja, Mahkamah bolehlah melepaskan pesalah itu atau menghapuskan hukuman itu apabila dia tunduk kepada perintah atau kehendak Mahkamah atau apabila dia meminta maaf dengan cara yang memuaskan hati Mahkamah.

(6) Bilamana sesuatu kuasa yang diberi oleh seksyen ini dijalankan oleh Mahkamah Tinggi Syar'iah atau Mahkamah Rendah Syar'iah, orang yang dihukum itu hendaklah ada hak untuk membuat apil yang sama seolah-olah dia telah dihukum selepas perbicaraan yang dijalankan menurut peruntukan-peruntukan Enakmen ini.

(7) Mana-mana orang yang dihukum di bawah subseksyen (1) oleh Mahkamah Tinggi Syar'iah atau Mahkamah Rendah Syar'iah hendaklah, dengan serta-merta selepas hukuman dijatuhkan, diberitahu tentang haknya membuat apil terhadap hukuman itu.

(8) Apabila notis apil diserahkan oleh mana-mana orang yang dihukum di bawah seksyen ini, Mahkamah yang memerintahkan hukuman itu hendaklah menggantung pelaksanaan hukuman itu dan hendaklah melepaskan orang yang dihukum itu atas syarat-syarat yang dijamin oleh bon peribadinya sahaja.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.