ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH 2004

BAHAGIAN III - KEWANGAN
Wakaf, Nazr dan Amanah



Seksyen 55. Modal wakaf dan nazr

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), harta modal dan aset yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazr' am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Baitulmal, tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazr' am itu dipegang sebagai dana berasingan.

(2) Jika oleh sebab masa telah luput atau hal keadaan sudah berubah, tidak mungkin lagi dapat dijalankan dengan berfaedah peruntukan-peruntukan tepat mana-mana wakaf atau nazr' am. Majlis hendaklah menyediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya mengikut cara yang sehampir mungkin sama dengan dikehendaki oleh terma-terma atau nazr' am itu, dan hendaklah menggunakan harta dan aset itu dengan sewajarnya.

(3) Walau apapun subseksyen (2), Perbadanan boleh, dengan kelulusan bertulis daripada Yang di-Pertua Negeri, mengarahkan supaya harta dan aset yang disebut dalam subseksyen (2) itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(4) Jika terma-terma mana-mana wakaf atau nazr' am tidak menyatakan cara penggunaan harta modal dan aset yang tersentuh olehnya, atau tidak pasti daripada terma-terma itu bagaimana harta modal atau aset itu patut digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta modal dan aset itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(5) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan, atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazr' am, berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.