ENAKMEN 12 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah.

(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu akuan berkanun yang mengandungi-
(2) Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, Mahkamah hendaklah menyebabkan suatu saman disampaikan kepada pihak yang suatu lagi itu bersama dengan suatu salinan permohonan itu dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.

(3) Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati selepas siasatan dan penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tak dapat dipulihkan, maka Mahkamah hendaklah menasihati suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah.

(4) Mahkamah hendaklah merekodkan hakikat pelafazan satu talaq itu, dan hendaklah menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(5) Jika pihak yang satu lagi tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang boleh melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi isteri, dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu.

(6) Dalam melantik dua orang itu di bawah subseksyen (5), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberikan keutamaan kepada saudara-saudara terdekat pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(7) Mahkamah boleh memberikan arahan-arahan kepada jawatankuasa pendamai itu tentang hal menjalankan perdamaian itu dan jawatankuasa itu hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu.

(8) Jika jawatankuasa itu tidak dapat bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuas hati tentang cara jawatankuasa itu menjalankan perdamaian itu, Mahkamah boleh memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa yang lain bagi menggantikannya.

(9) Jawatankuasa itu hendaklah berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh jawatankuasa itu dibentuk atau dalam apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.

(10) Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak itu hadir dan hendaklah memberi setiap seorang daripada mereka peluang untuk didengar dan boleh mendengar mana-mana orang lain dan membuat apa-apa siasatan yang difikirkannya patut dan boleh, jika difikirkannya perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa.

(11) Jika jawatankuasa pendamai itu tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, jawatankuasa itu hendaklah mengeluarkan suatu perakuan tentang hal yang demikian itu dan boleh melampirkan pada perakuan itu apa-apa syor yang difikirkannya patut berkenaan dengan nafkah dan penjagaan anak-anak belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada, berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan hal-hal lain berhubung dengan perkahwinan itu.

(12) Tiada seorang Peguam Syarie pun boleh hadir atau bertindak bagi mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding di hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada pihak pun boleh diwakili oleh mana-mana orang, selain seorang anggota keluarganya yang terdekat, tanpa kebenaran jawatankuasa pendamai itu.

(13) Jika jawatankuasa itu melaporkan kepada Mahkamah bahawa perdamaian telah tercapai dan pihak-pihak itu telah hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian itu.

(14) Jika jawatankuasa mengemukakan kepada Mahkamah suatu perakuan bahawa ia tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menasihati suami itu melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah, dan jika Mahkamah tidak boleh mendapatkan suami itu hadir di hadapan Mahkamah untuk melafazkan satu talaq, atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq, maka Mahkamah hendaklah merujuk kes itu kepada Hakam untuk tindakan menurut seksyen 48.

(15) Kehendak subseksyen (5) tentang rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak terpakai dalam mana-mana kes-
(16) Sesuatu talaq raj’i yang dilafazkan oleh suami melainkan jika dibatalkan terlebih dahulu, sama ada secara nyata atau tafsiran, atau dengan perintah daripada Mahkamah, tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga habisnya tempoh ‘iddah.

(17) Jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga berakhir kehamilan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.