ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN 1994

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan -

"agama" ertinya Agama Islam;

"amil" ertinya orang yang dilantik di bawah seksyen 53(1) bagi memungut zakat dan fitrah;

"anak mukim" ertinya orang yang tinggal tetap atau lazimnya tinggal dalam mukim masjid;

"Dewan" ertinya Dewan Syura yang ditubuhkan di bawah seksyen 40;

"fitrah" ertinya sukatan beras atau nilai harga yang bersamaan dengannya yang wajib dikeluarkan pada tiap-tiap tahun atas tiap-tiap orang Islam mengikut Hukum Syarak;

"Jamaah Ulama' "ertinya Jamaah Ulama' yang ditubuhkan di bawah seksyen 33;

"Mahkamah" mepunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [En. 3/82];

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ditubuhkan di bawah seksyen 5;

"masjid" ertinya suatu bangunan yang dibina atau digunakan atau yang menyebabkan supaya digunakan untuk sembahyang Jumaat;

"muallaf" ertinya seorang yang baru memeluk Agama Islam;

"mukim " atau "mukim masjid" ertinya kawasan yang ditetapkan oleh Majlis mengikut Enakmen ini di mana terdirinya sebuah masjid;

"Mufti" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [En 3/82]:

"nazar" ertinya ikrar yang dilafazkan dan diperbuat mengikut Hukum Syarak bagi berbuat apa-apa perkara atau bagi mewakaf harta benda untuk faedah orang-orang Islam pada keseluruhan atau sebahagiannya;

"Negeri" ertinya Negeri Kelantan;

"orang Islam" ertinya seorang yang berketurunan sama ada kedua atau salah seorang ibubapanya beragama Islam atau seorang muallaf;

"pegawai masjid" ertinya Imam Tua, Imam Muda dan Bilal bagi sebuah masjid;

"Penyelia Agama" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [En. 3/82] dan termasuk Ketua Penyelia Agama, Penolong Penyelia Agama dan Pembantu Penyelia Agama;

"pendakwa" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [En. 3/82] dan termasuk Timbalan Pendakwa Syarie;

"Pusat Bimbingan Islam" ertinya suatu pusat tahanan, pengajian dan bimbingan atau sekolah yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan;

"Qadhi" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah, 1982 [En. 3/82] dan termasuk Qadhi Besar dan Timbalan Qadhi Besar;

"Qadhi Besar" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [En. 3/82];

"Setiausaha" ertinya Setiausaha Majlis yang dilantik di bawah seksyen 10;

"tauliah" ertinya suatu surat kuasa yang dikeluarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan di bawah Enakmen ini;

"Timbalan Mufti" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982;

"wakaf am" ertinya wakaf harta modal dan pendapatan yang kekal daripada mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui sah oleh Hukum Syarak dan termasuk juga harta-harta yang diwakafkan itu sendiri;

"wakaf khas" ertinya wakaf harta modal yang kekal daripada mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui oleh Hukum Syarak, termasuk harta-harta yang diwakafkan itu sendiri dan pendapatan daripada harta-harta itu diberi kepada orang-orang atau untuk tujuan yang ditetapkan dalam wakaf itu;

"wasiat" ertinya ikrar seseorang semasa hayatnya untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau tanggungan menurut Hukum Syarak selepas matinya;

"Yang Dipertua" ertinya Yang Dipertua Majlis yang dilantik di bawah seksyen 9 dan termasuk Timbalan Yang Dipertua;

"zakat" ertinya sebahagian daripada hartabenda termasuk padi, emas, perak, wang tunai, binatang ternakan, barang-barang perniagaan, harta galian, rikaz dan lain-lain yang wajib dibayar atau dikeluarkan oleh tiap-tiap orang Islam apabila cukup syaratnya mengikut Hukum Syarak.

(2) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada skrip Bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(3) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dengan tertentu didalamnya, tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948[Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu, setakat mana ia tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.