ENAKMEN 6 TAHUN 1991
ENAKMEN KESALAHAN SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN IV - KESALAHAN-KESALAHAN LAIN



Seksyen 53. Bersekediaman.


(1) Seorang lelaki yang didapati bersekediaman atau berkurung atau bersunyian yang mendatangkan syak di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan muhrimnya selain daripada isterinya adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut bolehlah dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dari dua puluh empat bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Seseorang perempuan yang didapati bersekediaman atau berkurung atau bersunyian yang mendatangkan syak di mana-mana tempat dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya selain daripada suaminya adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut bolehlah dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh empat bulan atau kedua-duanya sekali.

(3) Seorang lelaki didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau bukan muhrimnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang mendatangkan syak bahawa mereka akan melakukan maksiat adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut bolehlah dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh empat bulan atau kedua-dua sekali.

(4) Seseorang perempuan didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang lelaki yang bukan suaminya atau bukan muhrimnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik pada mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing di dalam keadaan yang mendatangkan syak bahawa mereka akan melakukan maksiat adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut bolehlah dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh empat bulan atau kedua-duanya sekali.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.