Tr. P.U. 4/2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

BAHAGIAN VII



Seksyen 25. Irtidad atau Riddah.

(1) Irtidad ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seorang Islam yang mukallaf yang mana perbuatan atau perkataan itu mengikut Hukum Syarak adalah merosakkan atau berlawanan dengan aqidah agama Islam:

Dengan syarat bahawa perbuatan itu dilakukan atau perkataan itu disebutkan dengan niat, dengan sukarela dan dengan pengetahuan, dan tanpa apa-apa paksaan oleh sesiapa atau oleh keadaan.

(2) Perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang menjejaskan aqidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau perkara-perkara mengenai atau bersabit dengan perkara-perkara asas yang dianggapkan mesti diketahui dan dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan am sebagai seorang Islam seperti perkara-perkara mengenai Rukun Islam, Rukun Iman dan lain-lain perkara yang secara umumnya diketahui oleh orang Islam.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.