ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH



Seksyen 64. Tindakan bersaling.

(1) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri di Malaysia mengeluarkan waran atau saman, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu, untuk dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada mana-mana orang yang berada atau dipercayai berada dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, maka mana-mana Hakim Syarie boleh mengendorskan waran atau saman itu dengan menandatanganinya dan waran atau saman itu boleh dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu seolah-olah waran atau saman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dalam Negri Perak Darul Ridzuan menurut peruntukan Enakmen ini.

(2) Jika Mahkamah Syariah dalam Negeri Perak Darul Ridzuan mengeluarkan waran yang memberikan kuasa untuk menangkap mana-mana orang, atau saman yang memanggil kuasa untuk menangkap mana-mana orang, atau saman yang memanggil mana-mana orang supaya hadir di Mahkamah Syariah, dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri lain di Malaysia dan waran atau saman itu telah dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu, maka waran atau saman itu hendaklah bagi maksud Enakmen ini disifatkan telah dilaksanakan atau disampaikan dengan sah seolah-olah pelaksanaan atau penyampaian itu telah dilaksanakan atau disempurnakan dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(3) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri di Malaysia membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, maka Hakim Syarie, jika dia berpuas hati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sempurna oleh suatu Mahkamah Syariah yang berwibawa dalam mana-mana Negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dibuat dengan sah oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Perak Darul Ridzuan menurut peruntukan Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.