ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh walaupun telah berkahwin atau belum;

"baligh" ertinya seseorang yang telah mencapai umur dua belas tahun qamariah;

"Hakim" ertinya Hakim Mahkamah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 37 dan 39 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 [En. 1/1991], yang mana berkenaan;

"liwat" ertinya perhubungan sejenis di antara lelaki dengan lelaki;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 36 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 [En. 1/1991];

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 [En. 1/1991];

"muabbad" ertinya haram nikah buat selama-lamanya;

"muncikari" ertinya seseorang yang menjalankan pekerjaan sebagai orang tengah di antara seseorang perempuan dengan seseorang lelaki bagi tujuan pelacuran atau tujuan-tujuan lain yang menyalahi Hukum Syarak;

"musahaqah" ertinya perhubungan sejenis di antara perempuan dengan perempuan;


"penjawat awam" membawa erti yang sama seperti yang diberi dalam seksyen 21 Kanun Kesiksaan [NMB Bab 45];

"percubaan persetubuhan haram" ertinya perbuatan-perbuatan di antara lelaki dan perempuan yang mendorong kepada persetubuhan haram;

"persetubuhan haram" ertinya persetubuhan selain daripada rogol dan persetubuhan syubhah di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukannya suami isteri;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang dilakukan atas kepercayaan yang silap sah akad nikahnya akan tetapi sebenarnya akad nikah itu tidak sah (fasid);

"qazaf" ertinya tuduhan persetubuhan haram terhadap seseorang;

"rairu muabbad" ertinya haram nikah buat sementara;

"sumbang" ertinya perbuatan atau siri perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang diharamkan berkahwin;

"takfir" ertinya mengisytiharkan seseorang Islam sebagai kafir.


(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan di dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] yang mana sesuai hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing setakat erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan berkenaan sifat atau tafsiran perkataan atau ungkapan yang digunakan di dalam Enakmen ini yang disenaraikan di dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bertentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Jika timbul sebarang kekeliruan atau kekaburan dalam memberi takrif sesuatu perkataan atau ungkapan berkaitan dengan Hukum Syarak, maka adalah menjadi budibicara Mahkamah untuk menentukan takrif perkataan dan ungkapan tersebut.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.