ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN VI - DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB 1 - DARIHAL RAYUAN KEPADA MAHKAMAH TINGGI SYARIAH



Seksyen 162. Kuasa Mahkamah Rayuan Syariah

(1) Semasa pendengaran sesuatu rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mendengar perayu atau Peguam Syarienya jika dia hadir dan, jika difikirkannya patut, responden atau Peguam Syarienya, jika dia hadir, dan boleh mendengar perayu atau Peguam Syarienya menjawab dan Mahkamah Rayuan Syariah boleh sesudah itu mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, atau boleh memerintahkan suatu perbicaraan semula atau boleh menghantar balik perkara itu berserta dengan pendapat Mahkamah Rayuan Syariah mengenainya kepada Mahkamah perbicaraan, atau boleh membuat apa-apa perintah lain dalam perkara itu sebagaimana yang difikirkannya adil, dan boleh melalui perintah itu menjalankan apa-apa kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan.

(2) Pada pendengaran sesuatu rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah boleh, jika difikirkannya bahawa suatu hukuman yang lain sepatutnya telah dijatuhkan, membatalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah perbicaraan dan menjatuhkan apa-apa hukuman lain yang diwajarkan oleh undang-undang, sama ada lebih atau kurang beratnya, sebagai menggantikan hukuman asal sebagaimana yang difikirkannya sepatutnya telah dijatuhkan.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.