ENAKMEN 4 TAHUN 1999
ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (SELANGOR) 1999

BAHAGIAN V - PENERIMAAN DAN PENOLAKAN WASIAT



Seksyen 17. Penerimaan dan penolakan wasiat.

(1) Sesuatu wasiat hendaklah berkuat kuasa apabila diterima oleh benefisiari sama ada secara nyata atau tersirat, selepas kematian pewasiat.

(2) Jika seseorang benefisiari ialah seorang kanak-kanak yang belum cukup umur menurut Hukum Syarak, atau orang yang ditegah dari menguruskan hartanya, penerimaannya atau penolakannya hendaklah disempurnakan oleh wali hartanya.

(3) Jika seseorang benefisiari ialah janin, penerimaannya atau penolakannya hendaklah disempurnakan oleh wali hartanya:

Dengan syarat janin itu hendaklah dilahirkan hidup.

(4) Jika benefisiari ialah suatu badan yang diperbadankan, penerimaannya dan penolakannya hendaklah dibuat oleh wakil sah badan yang diperbadankan tersebut.

(5) Jika wasiat itu telah dibuat kepada kumpulan orang yang tidak diperbadankan, penerimaannya dan penolakannya adalah tidak diperlukan dan wasiat itu hendaklah dibahagikan kepada sekurang-kurangnya tiga orang dari kumpulan orang tersebut.

(6) Jika seseorang benefisiari mati sebelum dia sempat menerima atau menolak wasiat, waris-warisnya hendaklah menentukan sama ada hendak menerima atau menolak wasiat tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.