ENAKMEN 4 TAHUN 1999
ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (SELANGOR) 1999

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN BENEFISIARI



Seksyen 22. Wasiat yang berhubungan dengan benefisiari yang belum wujud.

(1) Sesuatu wasiat boleh dibuat kepada benefisiari yang yang belum wujud dan kepada sekumpulan benefisiari tertentu yang sebahagiannya telah wujud dan yang sebahagian lagi belum wujud.

(2) Jika tidak terdapat benefisiari yang disebut dalam subseksyen (1) ketika seseorang pewasiat mati, harta atau manfaat yang diwasiatkan itu hendaklah dibahagikan kepada semua warisnya yang berhak menerima harta pusaka.

(3) Jika terdapat seorang sahaja dari beberapa orang benefisiari semasa pewasiat mati atau selepasnya, harta tersebut hendaklah diberi kepada benefisiari yang wujud pada masa itu sehingga muncul benefisiari yang lainnya, dan pada masa itu, harta tersebut hendaklah dibahagikan antara mereka dan jika salah seorang dari mereka mati, bahagiannya hendaklah menjadi harta pusaka.

(4) Jika terdapat seorang benefisiari sahaja, dia hendaklah memperolehi semua harta itu kecuali jika terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pewasiat sebenarnya bertujuan untuk mewasiatkan kepada beberapa orang benefisiari, dan dalam keadaan demikian, benefisiari yang wujud itu hendaklah diberi bahagiannya sahaja dan bakinya hendaklah diberikan kepada waris-waris pewasiat yang lain.

(5) Jika sesuatu wasiat itu dibuat secara berturutan, dan apabila seseorang pewasiat mati, wasiat itu hendaklah diberikan kepada penerima peringkat pertama dan selepasnya sehingga selesai semua harta itu dan wasiat tersebut akan menjadi harta pusaka semula apabila penerima kedua-dua peringkat itu telah tidak wujud lagi kecuali telah diwasiatkan untuk diberi kepada benefisiari yang lain selepas kedua-dua peringkat benefisiari tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.