ENAKMEN 13 TAHUN 2003
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 9 - DARIHAL PENGGANTUNGAN, PEREMITAN DAN PERINGANAN HUKUMAN



Seksyen 136. Kuasa untuk menggantung atau meremitkan hukuman

(1) Apabila mana-mana orang telah dihukum bagi sesuatu kesalahan, Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Mufti boleh pada bila-bila masa, tanpa syarat, atau dengan apa-apa syarat yang diterima oleh orang yang dihukum itu, menggantung atau meremitkan pelaksanaan keseluruhan atau mana-mana bahagian hukuman itu.

(2) Apabila sesuatu permohonan dibuat kepada Yang di-Pertuan Besar bagi penggantungan atau peremitan sesuatu hukuman, Yang di-Pertuan Besar boleh menghendaki Hakim yang membuat sabitan itu supaya menyatakan pendapatnya tentang sama ada permohonan itu boleh dibenarkan atau ditolak dan Hakim itu hendaklah menyatakan pendapatnya dengan sewajarnya.

(3) Jika mana-mana syarat yang berdasarkannya sesuatu hukuman telah digantung atau diremitkan telah tidak, pada pendapat Yang di-Pertuan Besar, dipenuhi, Yang di-Pertuan Besar boleh membatalkan penggantungan atau peremitan itu; dan dengan itu orang yang bagi faedahnya hukuman itu telah digantung atau diremitkan boleh, jika dia telah dilepaskan, ditangkap oleh mana-mana Pegawai Polis atau Pegawai Penguat Kuasa Agama tanpa waran dan ditahan oleh seorang Hakim untuk menjalani bahagian hukuman yang belum habis itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.