ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN II - PENUBUHAN MAJLIS
Mufti dan Jawatankuasa Syariah



Seksyen 38. Fatwa.


(1) Sesiapa pun boleh, dengan bersurat kepada Yang di-Pertua, meminta Majlis mengeluarkan fatwa di atas apa-apa perkara berkenaan Ugama Islam atau nas.

(2) Yang di-Pertua hendaklah merujukkan permintaan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Syariah dan Pengerusi hendaklah menimbangkan tiap-tiap permintaan seperti itu dan hendaklah menyediakan rangka fatwa itu melainkan pada fikirannya perkara yang dirujukkan itu adalah perkara kecil atau oleh lain-lain sebab yang menasabah tidak patut dijawab. Ia hendaklah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Syariah untuk menimbangkan dan memberi keputusan ke atas rangka fatwa yang dibuatnya itu. Jika sesuatu keputusan itu disokong oleh nas, maka Mufti hendaklah dengan serta merta mengeluarkan fatwanya. Jika dalam perkara itu Jawatankuasa Syariah tidak sebulat suara, soal itu hendaklah dirujukkan kepada Majlis dan Majlis hendaklah dengan cara yang sama membuat dan mengedarkan keputusannya yang mana dibuat mengikut pendapat lebihsuara ahli-ahlinya yang hadir:

Dengan syarat atas sebab-sebab yang khas apa-apa soal seperti itu bolehlah disembahkan oleh Majlis kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan penentuan Baginda.

(3) Majlis boleh pada bila-bila masa dengan kehendaknya sendiri mengisytiharkan apa-apa fatwa atau keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Syariah.

(4) Jika dalam mana-mana Mahkamah termasuk Mahkamah Awam selain daripada Mahkamah Kadi Besar atau Mahkamah Kadi apa-apa soal berkenaan Hukum Syara' atau Adat Resam Melayu Pahang yang berkehendakkan keputusan dan Mahkamah itu meminta pendapat Majlis atas soal-soal itu, soal itu hendaklah dirujukkan kepada Majlis untuk pendapatnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.