ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH-MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 22. Bagaimana tindakan terhadap orang yang telah ditangkap diuruskan dan penahanan yang melebihi dua puluh empat jam.

(1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis yang menangkap orang tanpa waran di bawah Enakmen ini hendaklah, tanpa kelewatan yang tidak perlu dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah ini mengenai jaminan atau kelepasan yang terdahulu, membawa atau menghantarkan orang yang ditangkap itu ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

(2) Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis tidak boleh menahan seseorang yang ditangkap tanpa waran lebih daripada masa yang patut dengan menimbangkan semua keadaan yang munasabah terhadap kes itu.

(3) Tempoh tersebut hendaklah tidak melebihi dua puluh empat jam, tidak termasuk masa yang perlu untuk perjalanan dari tempat penangkapan ke Mahkamah Rendah Syariah.

(4) Apabila seseorang yang ditangkap itu dikemukakan di hadapan Mahkamah, Mahkamah boleh terus mendengar pertuduhan terhadap orang itu atau menangguhkan kes itu.

(5) Jika pertuduhan terhadap tertuduh itu ditangguhkan, orang itu hendaklah, kecuali ia dibebaskan dengan jaminan, ditahan dalam penjara atau jagaan Polis di bawah satu waran tahanan yang dikeluarkan oleh Hakim dalam Borang 1 dalam Jadual 1.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.