ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan konteksnya menghendaki makna yang lain -

"ahli kariah", berhubungan dengan sesuatu kariah masjid, ertinya seseorang yang tinggal tetap atau pada lazimnya tinggal dalam kariah masjid itu;

"Enakmen 1982" ertinya Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 [Enak.8/82.];

"fitrah" ertinya sesuatu unit sukatan beras atau nilai yang bersamaan dengannya yang wajib dibayar oleh seseorang Islam menurut Hukum Syarak;

"Hakim Mahkamah Rayuan Syariah" ertinya Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah seksyen 54;

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah" ertinya Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 45;

"Hakim Mahkamah Tinggi Syariah" ertinya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang dilantik di bawah seksyen 43;

"Hukum Syarak" ertinya Undang-Undang Islam dalam mana-mana Mazhab yang sah;

"Imam" ertinya Imam yang dilantik di bawah seksyen 93;

"Jawatankuasa Kariah" ertinya Jawatankuasa Kariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 98;

"kariah" atau "kariah masjid" berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan di mana masjid itu berada yang mana sempadannya ditetapkan di bawah seksyen 91;

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah seksyen 43;

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya orang yang dilantik di bawah seksyen 65;

"Mahkamah Syariah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 42;

"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang ditubuhkan di bawah seksyen 4;

"masjid" ertinya sesuatu bangunan yang diluluskan oleh Majlis untuk kegunaan sembahyang Jumaat dan sembahyang-sembahyang lain dan untuk kegunaan lain-lain kegiatan keagamaan;

"muallaf" ertinya seseorang yang baru memeluk agama Islam;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti Negeri menurut seksyen 34 dan adalah termasuk Timbalan Mufti;

"nazar" ertinya sesuatu janji yang dilafazkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk mewakafkan harta untuk apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Hukum Syarak;

"nazar am" ertinya sesuatu nazar yang pada keseluruhan atau sebahagiannya bertujuan untuk faedah kaum muslimin amnya dan bukannya untuk faedah orang atau orang-orang perseorangan;

"orang Islam" ertinya -
"Pegawai Masjid" ertinya Imam, Khatib, Bilal dan Siak yang dilantik di bawah seksyen 93;

"Pegawai Penguatkuasa Agama" ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 65;

"pegawai undang-undang Kerajaan Persekutuan" ertinya seseorang Peguam Kanan Persekutuan, Peguam Persekutuan dan termasuklah seseorang Pembantu Undang-Undang;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 66;

"Setiausaha" ertinya Setiausaha Majlis yang dilantik di bawah seksyen 13;

"surau" ertinya sesuatu bangunan yang diluluskan oleh Majlis untuk kegunaan sembahyang berjemaah selain daripada sembahyang Jumaat dan untuk kegunaan lain-lain kegiatan keagamaan;

"wakaf am" ertinya sesuatu pengwakafan berkekalan akan modal dan pendapatan harta untuk tujuan keagamaan dan khairat yang diakui oleh Hukum Syarak dan harta yang diwakafkan sedemikian itu;

"wakaf khas" ertinya sesuatu pengwakafan berkekalan akan modal dan pendapatan harta untuk tujuan keagamaan dan khairat yang diakui oleh Hukum Syarak dan harta yang diwakafkan sedemikian itu, di mana pendapatan harta itu diberikan kepada orang-orang atau untuk tujuan sebagaimana ditetapkan dalam wakaf itu;

"Yang Dipertua" ertinya Yang Dipertua Majlis yang dilantik di bawah seksyen 7 dan adalah termasuk Timbalan Yang Dipertua;

"zakat" ertinya sebahagian daripada hasil tahunan penanaman padi dan sebahagian daripada pendapatan perniagaan, ternakan dan termasuklah wang simpanan, emas dan perak menurut Hukum Syarak.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan di dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu setakat mana ia tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan berkenaan sifat atau tafsiran perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama, rujukan boleh dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Majlis boleh dari masa ke masa meminda, memotong daripada atau menambah kepada Jadual Pertama melalui pemberitahuan dalam Warta.

(5) Jika timbul apa-apa kekeliruan atau kekaburan dalam memberi takrif sesuatu perkataan atau ungkapan berkaitan dengan Hukum Syarak, maka adalah menjadi budibicara Mahkamah Tinggi Syariah untuk menentukan takrif perkataan dan ungkapan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.