ENAKMEN 5 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR MAL MAHKAMAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN XIX - PERLAKSANAAN



Seksyen 159. Memenjarakan.

(1) Di dalam seksyen ini "penghutang penghakiman" termasuk seorang garnishee yang terhadapnya suatu perintah telah dibuat melalui saman garnishmen.

(2) Jika seorang penghutang penghakiman didapati bersalah kerana menghina Mahkamah di bawah peruntukan Bahagian ini atau dengan sengaja enggan atau cuai mematuhi mana-mana perintah Mahkamah yang mengarahkannya membuat atau jangan membuat sesuatu perbuatan, pemiutang penghakiman boleh menyerah kepada Pendaftar dan Pendaftar boleh memeteri, menandatangani dan mengeluarkan suatu notis hukuman dalam Borang 21 yang mengarahkan penghutang penghakiman supaya menunjukkan sebab mengapa ia tidak patut dipenjarakan. Saman yang demikian hendaklah menyatakan alasan permohonan itu dan hendaklah diserah kepada diri penghutang penghakiman sekurang-kurangnya dua hari genap sebelum perbicaraan itu. Pendaftar boleh dengan budibicaranya menghendaki alasan permohonan itu dibuktikan dengan afidavit.

(3) Mahkamah semasa membicara saman tersebut boleh mendapat keterangan yang ia fikir patut dan boleh memerintah penghutang penghakiman ke penjara sivil atau boleh mengenakannya syarat-syarat yang tertentu atau menerima darinya akujanji yang Mahkamah fikir patut.

(4) Hukuman penjara dibawah seksyen ini tidak boleh dikira sebagai menyelesaikan hutang penghakiman atau mana-mana bahagiannya.

(5) Seorang yang telah dipenjarakan di bawah perintah ini boleh memohon untuk dibebaskan dengan membuktikan bahawa ia telah mematuhi perintah Mahkamah itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.