ENAKMEN 9 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tidak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Enakmen ini;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 [Enakmen No. 7 tahun 2002];

"Hakim" ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah seksyen 46 atau 47 Enakmen Pentadbiran;

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;

"kesalahan boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat kuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat kuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran;

"Ketua Hakim Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama" dan "Pegawai Penguat kuasa Agama" masing-masing mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Peguam Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

"Pendakwa" ertinya Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie;

"Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pengerusi" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"pesalah muda" ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;

"saksi" tidak termasuk seseorang tertuduh.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.