ENAKMEN 1 TAHUN 1984
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1979

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERNIKAHAN



Seksyen 20. Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk.

(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi maksud Enakmen ini dan ia hendaklah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar dan pendaftaran nikah, cerai dan rujuk di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mengikut nama atau jawatan seorang yang berkelayakan sama ada Pegawai awam atau bukan untuk menjadi Pendaftar dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi mana-mana Kariah Masjid dalam Negeri ini sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Kadi Besar, Timbalan Kadi Besar dan Kadi hendaklah menjadi Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk atas perjawatan bagi kawasan yang di dalamnya mereka mempunyai bidangkuasa jenayah dan mal.

(4) Duli Yang Maha Mulia boleh melalui pemberitahu dalam
Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara, sama ada atas nama atau jawatan, untuk menjadi Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi maksud Enakmen ini di negara itu.

(5) Ketua Pendaftar, Pendaftar dan Penolong Pendaftar hendaklah disifatkan sebagai penjawat awam bagi maksud Kanun Kesiksaan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.