ENAKMEN 1 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983
BAHAGIAN V - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN
Seksyen 60. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah anak.
(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah mengikut Hukum Syarak untuk faedah anaknya-
(a) jika ia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan yang munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika ia telah meninggal langsung isteri dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu pembicaraan hal ehwal suami isteri; atau
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.
(2) Mahkamah adalah juga berkuasa memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak membayar atau memberi sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuashati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.
(3) Sesuatu perintah di bawah seksyen-kecil (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang-pemegang amanah bagi anak itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.