ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992
BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB XIV - DARIHAL HUKUMAN DAN PERLAKSANAANNYA
Seksyen 128. Peruntukan mengenai perlaksanaan hukuman penjara.
Berhubung dengan hukuman-hukuman penjara, peruntukan berikut hendaklah terpakai:
(a)
jika orang yang dituduh itu dihukum dengan hukuman penjara, Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu hendaklah dengan segera mengeluarkan satu waran kepada penjara di mana dia akan ditahan dan, kecuali jika orang yang tertuduh itu sudah ditahan di penjara itu, hendaklah menghantarkannya di bawah jagaan Polis atau Pegawai Penguatkuasa Agama ke penjara itu berserta dengan waran;
(b)
tiap-tiap waran bagi melaksanakan sesuatu hukuman penjara hendaklah diarahkan kepada pegawai penguasa penjara itu atau tempat lain di mana pesalah itu hendak ditahan;
(c)
jika pesalah itu hendak ditahan di penjara, waran hendaklah diserahkan kepada pegawai penguasa penjara itu;
(d)
tiap-tiap hukuman penjara hendaklah berjalan mulai dari tarikh hukuman itu dijatuhkan kecuali jika Mahkamah yang menjatuhkan hukuman mengarah selainnya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.