ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN VI - PROSIDING KHAS
BAB XX - ORANG TAK SEMPURNA AKAL



Seksyen 170. Prosedur jika tertuduh disyaki tak sempurna akal.

(1) Apabila Hakim yang menjalankan perbicaraan mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa orang yang dituduh itu tidak sempurna akalnya dan akibatnya tidak berupaya membela dirinya, Hakim hendaklah menyiasat dahulu tentang fakta ketidaksempurnaan akal itu.

(2) Dalam penyiasatan itu tidaklah perlu bagi orang yang dituduh itu hadir dan Hakim boleh menerima sebagai keterangan suatu perakuan bertulis yang ditandatangani oleh Pegawai Perubatan yang menyatakan bahawa pada pendapatnya orang itu tidak sernpurna akal atau adalah seorang yang patut ditahan di hospital pesakit otak untuk pemerhatian, atau jika difikirkannya patut Hakim itu boleh mengambil keterangan lisan daripada Pegawai Perubatan rnengenai keadaan akal orang itu.

(3) Jika Hakim tidak berpuas hati bahawa orang itu berupaya membela dirinya, dia boleh menangguhkan perbicaraan dan hendaklah menahan orang itu selama tempoh tidak rnelebihi satu bulan untuk pemerhatian di sebuah hospital pesakit otak. Perintah penahanan itu hendaklah dibuat mengikut Borang 10 seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

(4) Penguasa Perubatan hospital pesakit otak tersebut hendaklah meletakkan orang itu di bawah pemerhatian dalam tempoh tahanannya dan sebelum tamat tempoh itu dia hendaklah memperakukan secara bertulis kepada Mahkamah akan pendapatnya tentang keadaan akal orang itu. Jika dalam tempoh itu dia tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan yang pasti dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Mahkamah dan hendaklah meminta perintah tahanan lanjutan. Tahanan lanjutan itu tidak boleh melebihi tempoh dua bulan.

(5) Ketua Pendakwa Syarie boleh, dalam mana-mana peringkat apa-apa prosiding sebeIum perbicaraan, memerintahkan mana-mana orang yang dituduh yang disyakinya tidak sempurna akal supaya dihantar ke hospital pesakit otak untuk pemerhatian bagi tempoh tidak meIebihi satu bulan. Penguasa Perubatan hospital pesakit otak itu hendaklah meletakkan orang itu di bawah pemerhatian dalam tempoh itu dan sebeIum tamat tempoh itu dia hendaklah memperakukan secara bertuIis kepada Ketua Pendakwa Syarie akan pendapatnya tentang keadaan akal orang itu. Jika Penguasa Perubatan dalam tempoh itu tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan yang pasti dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pendakwa Syarie itu boleh memerintahkan supaya orang itu ditahan dalam hospital pesakit otak itu untuk suatu tempoh lanjutan yang tidak melebihi dua bulan.

(6) Penguasa Perubatan hospital pesakit otak boleh, walau apa pun yang terkandung dalam Mental Disorders Ordinance 1952, menahan mana-mana orang yang dituduh yang terhadapnya sesuatu perintah telah dibuat di bawah seksyen ini untuk tempoh yang tidak melebihi tempoh yang dinyatakan dalam perintah itu.

(7) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang yang dituduh itu tidak sempurna akalnya dan tidak boleh membela dirinya, Mahkamah hendaklah jika berpuas hati tentang fakta itu, memerintahkan supaya dia dilepaskan dalam jagaan mana-mana orang, atas apa-apa syarat yang difikirkan patut, untuk kehadirannya di Mahkamah pada bila-bila masa yang ditentukan.

(8) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang yang dituduh itu adalah sempurna akal dan boleh membela dirinya, Hakim hendaklah meneruskan perbicaraan.

(9) Walau apa pun peruntukan subseksyen (8) jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang yang dituduh itu pada masa melakukan kesalahan yang dikatakan itu oleh sebab ketidaksempurnaan akalnya tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatannya sebagai menjadi kesalahan itu atau bahawa perbuatan itu adalah salah atau berlawanan dengan undang-undang, dan Mahkamah berpuas hati bahawa orang itu telah melakukan perbuatan yang dikatakan itu, Mahkamah boleh mengikut budi bicaranya, melepaskan orang itu dalam jagaan atau di bawah pengawasan mana-mana orang atas apa-apa syarat yang Mahkamah fikirkan patut atau membebaskannya.

(10) Perakuan Penguasa Perubatan hendaklah diterima sebagai keterangan di bawah seksyen ini. Jika orang yang dituduh diperakui tidak sempurna akal dan tidak boleh membela dirinya, maka tidaklah perlu baginya hadir di Mahkamah dalam mana-mana prosiding yang tersebut di atas.

(11) Di dalam seksyen ini perkataan-perkataan 'hospital pesakit otak' ertinya hospital pesakit otak yang ditubuhkan atau diselenggarakan di bawah peruntukan Mental Disorders Ordinance 1952.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.