ENAKMEN 9 TAHUN 1995
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"baligh" ertinya sudah cukup umur mengikut Hukum Syara';

"Enakmen 1952" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' 1952;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989;

"fatwa" ertinya mana-mana fatwa yang dibuat di bawah dan mengikut seksyen 31 Enakmen Pentadbiran;

"Hakim" ertinya Hakim yang dilantik di bawah seksyen 38 atau seksyen 40 Enakmen Pentadbiran;

"Hukum Syara'" ertinya Hukum Syara' mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf;

"li'an" ertinya sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah mengikut Hukum Syara' bahawa isterinya telah melakukan zina;

"Mahkamah" ertinya mana-mana Mahkamah yang ditubuhkan di bawah seksyen 37 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik di bawah subseksyen 29(1) Enakmen Pentadbiran, dan termasuklah Timbalannya;

"muncikari" ertinya seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa tujuan yang menyalahi Hukum Syara';

"perbuatan sumbang mahram" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan yang, mengikut Hukum Syara', dilarang mengahwini satu sama lain;

"qazaf" ertinya membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang;

"takfir" ertinya menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam;

"zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syara'.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang sifat atau tafsiran perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Jika timbul sebarang keraguan atau kesulitan dalam pentafsiran apa-apa perkataan atau ungkapan yang berkaitan dengan Hukum Syara', Mahkamah hendaklah mempunyai budi bicara untuk menentukan erti perkataan atau ungkapan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.