ENAKMEN 5 TAHUN 2001
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (TERENGGANU) 2001

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 3 - DARIHAL PROSES UNTUK MEMAKSA KEHADIRAN
Waran Tangkap



Seksyen 37. Tatacara tentang penangkapan orang yang terhadapnya waran dikeluarkan.

(1) Apabila waran tangkap dilaksanakan di luar had bidang kuasa tempatan Mahkamah yang mengeluarkannya, maka orang yang ditangkap itu hendaklah, melainkan jika jaminan telah diambil di bawah seksyen 33, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat.

(2) Hakim itu hendaklah, jika ternyata orang yang ditangkap itu ialah orang yang dimaksudkan oleh Mahkamah yang mengeluarkan waran itu, mengarahkan pemindahan orang itu dalam jagaan ke Mahkamah yang dinamakan dalam waran itu.

(3) Walau apa pun subseksyen (2), jika kesalahan itu boleh dijamin dan orang yang ditangkap itu sedia dan sanggup memberikan jaminan yang memuaskan hati Mahkamah yang ke hadapannya dia dibawa, atau suatu arahan telah diendorskan di bawah seksyen 33 di atas waran itu dan orang itu sedia dan sanggup memberikan jaminan yang dikehendaki oleh arahan itu, maka Hakim itu hendaklah mengambil bon atau jaminan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan mengemukakan bon itu kepada Mahkamah yang dinamakan dalam waran itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menghalang seseorang Pegawai Penguatkuasa Syariah atau pegawai polis daripada mengambil jaminan di bawah seksyen 33.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.